BAGI pengunjung Pulau Besar Melaka pasti tertanya-tanya kewujudan peninggalan batu yang kononnya dipecahkan dengan lidah seorang panglima pada zaman dulu dikenali Panglima Lidah Hitam.
Batu Belah itu adalah sebuah batu besar setinggi tiga meter dan mempunyai rekahan di tengahnya selebar kira-kira 35 sentimeter (sm) dengan kedalaman 1.5 meter adalah hasil belahan lidah panglima berkenaan.
BATU yang didakwa timbul di atas kedudukan kepala di makam Panglima Lidah Hitam.
Sehingga kini, belum dapat disahkan adakah rekahan batu itu disebabkan kekuatan lidah Panglima Lidah Hitam atau sebaliknya? Apa yang menarik, panglima gagah berani itu memang diakui wujud dan memberi sumbangan besar dalam mempertahankan kedaulatan negara pada abad ke-16.
Beliau memberi sumbangan besar dengan turut berperang menentang ancaman lanun sehingga meragut nyawanya.
Jenazahnya dikebumikan di Kampung Parit Sakai, Jalan Joned, Muar, Johor dan pada bumbung makam jelas tertulis “PANGLIMA LIDAH HITAM, BAPAK SENI SILAT LINTAU DI MALAYA”.
Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Baginda Zahiruddin dipercayai berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
Menurut sejarah, beliau adalah orang pertama memperkenalkan silat Lintau di Indonesia dan seterusnya di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-16.
Ketika dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji, beliau singgah di Padang (nama asal kawasan Parit Sakai hingga ke Parit Jamil). Disebabkan cuaca buruk, beliau tinggal agak lama di Padang sementara menanti perubahan musim angin yang lebih baik sebelum meneruskan pelayaran.
Di Padang, beliau bertemu Orang Kaya Bauk, pemerintah Padang ketika itu. Orang Kaya Bauk meminta pertolongannya mengajar seni silat Lintau kepada anak muda di kawasan itu kerana kemahiran beliau dalam seni mempertahankan diri.
Secara kebetulan, pada masa itu lanun bermaharajalela di Selat Melaka. Orang Kaya Bauk meminta bantuan Panglima Lidah Hitam untuk menghapuskan ancaman lanun yang dikatakan mengganggu aktiviti penduduk setempat.
Pada 1716, satu pertempuran hebat berlaku di muara Sungai Muar antara angkatan Padang dengan kumpulan lanun yang berlanjutan selama beberapa hari. Akhirnya angkatan Padang berjaya menumpaskan sebahagian besar kumpulan lanun terbabit.
Kejayaan itu tidak sempat diraikan Panglima Lidah Hitam apabila kapal yang dinaikinya karam selepas diserang saki baki kumpulan lanun berkenaan.
Beliau dan beberapa pengiringnya lemas, namun kematiannya tidak disedari pengikutnya yang ketika itu sedang bertempur untuk menghapuskan saki baki lanun.
Sehinggalah selepas beberapa hari tamat bertempur, seorang penduduk Parit Sakai ternampak dua mayat terapung dan tersangkut pada pokok Tuak di kuala parit berkenaan. Oleh kerana pada masa itu senja, mayat itu dibiarkan tanpa diusik.
Keesokan harinya, barulah penduduk kampung datang mengambil mayat terbabit ke darat. Satu daripada mayat itu mempunyai lidah yang panjang berwarna hitam dan berbulu. Anehnya mayat ini tidak busuk dan reput walaupun sudah beberapa lama berada di dalam laut.
Jenazah berlidah hitam itu dimakamkan di tepi Parit Sakai. Difahamkan, selepas dimakamkan, satu perkara ganjil berlaku pada keesokannya.
Penduduk mendakwa satu tumbuhan batu timbul di atas kedudukan kepala makam berkenaan yang berbentuk lidah dan berwarna hitam cerah. Sebelum ini, penduduk dikatakan meletakkan batu nisan kayu di kepala makam tetapi dilaporkan hilang dan tumbuh pula batu di tempat sama.
Apabila malam bulan purnama, batu itu akan bertukar warna menjadi hitam pekat. Disebabkan keganjilan yang berlaku di makam itu, ia dianggap keramat oleh penduduk dan dipanggil “Keramat Lidah Hitam”.
Penduduk dikatakan membalut kain kuning pada batu yang berbentuk lidah itu sebagai menghormati sumbangannya kepada penduduk setempat dalam mengekalkan keamanan.
Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Samad Idris pernah melawat dan merasmikan bangunan baru makam Lidah Hitam pada 1977.
FAKTA
Panglima Lidah Hitam
*Nama sebenarnya ialah Baginda Zahiruddin.
*Berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera, Indonesia.
*Orang pertama perkenalkan silat Lintau di Indonesia dan seterusnya di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-16.
*Nama asal Parit Sakai hingga Parit Jamil, Muar dikenali sebagai Padang.
*Pertempuran angkatan Panglima Lidah Hitam dan kumpulan lanun berlaku di muara Sungai Muar pada 1716
*Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Samad Idris pernah melawat dan merasmikan bangunan baru makam Panglima Lidah Hitam pada 1977.
1 comments:
maaflah,setahu saya panglima hitam ni adalah bangsa jin islam yg asal dari sumatera dan menetap hingga kini di pulau besar.beliau saya adalah salah satu khadam yg pernah menjaga saya dan saya pernah melihat beliau samasa dialam ghaib dan nyata.saya telah banyak terhutang budi kepada beliau diatas pertolongannya.
Post a Comment